 |
 |
Cadangan Mansuh UPSR Umpama Sabotaj PIPP |
|
 |
|
 |
|
 |
 |
SEMEMANGNYA ada segelintir masyarakat yang menyatakan rasa skeptik dan curiga dengan apa jua dasar dan pelan induk yang cuba diusahakan untuk memantapkan sistem dan hala arah pendidikan negara.
Dan apabila Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) diumumkan baru-baru ini, ada pihak yang meluahkan rasa skeptik dan berbelah bahagi mereka terhadap rancangan lima tahun ini.
PIPP bukan agenda kecil dan terpencil. Ia agenda besar yang akan menentukan kemampuan Malaysia bersaing dalam dunia serba terbuka. Tahun 2020 bukan garis penamat, sebaliknya ‘garis permulaan’ kepada sebuah perjalanan bangsa yang jauh. Generasi muda yang lahir pada saat dan ketika itulah yang bakal menentukan ‘survival’ Malaysia dalam jangka masa panjang.
Kegusaran mula timbul apabila wujud desakan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas dasar untuk mengurangkan tekanan. Kenyataan-kenyataan seperti ini sebenarnya langsung tidak selari dengan roh dan semangat PIPP yang baru sahaja didedahkan kepada umum beberapa hari sebelum itu.
UPSR adalah penting untuk menilai kemampuan murid sekolah rendah secara akademik. Mungkin apa yang perlu diberikan penekanan adalah strategi melahirkan kalangan murid sekolah rendah yang lebih kreatif dan inovatif, dan memansuhkan peperiksaan bukanlah jawapannya.
Alasan untuk memberikan tumpuan kepada pembinaan nilai murni dan sahsiah bagaikan antitesis kepada cita-cita membina generasi yang bersifat holistik dan menyeluruh. Generasi yang mampu cemerlang dalam akademik, sekali gus mempunyai jati diri, sahsiah dan akhlak yang juga turut cemerlang.
Cadangan memansuhkan UPSR disifatkan terlalu emosional dan tidak berpandangan jauh. Apa pun rasionalnya, ketegasan Menteri Pelajaran dalam mempertahan UPSR sebagai mekanisme penilaian penting kepada para pelajar sekolah rendah amat dialu-alukan.
Kecenderungan organisasi tertentu yang berkaitan dengan pihak pendidik misalnya, untuk bersikap ‘terlalu berkira’ dalam hal-hal tertentu juga amatlah dikesali. Mereka yang mempunyai kaitan langsung dengan kecemerlangan pendidikan mestilah mengembalikan sikap, orientasi pemikiran dan tindakan mereka ke arah teras perniagaan pendidikan negara.
Tidak juga kita mengatakan kepentingan dan nasib pihak guru tidak wajar dibela. Perlu ada titik pertemuan yang jelas agar usaha pembelaan diusahakan dan dalam masa yang sama para pendidik juga bersedia memberikan masa untuk nasib mereka terus diberikan perhatian. Yang penting, fokus semua pihak tidak lari daripada landasan penting arah pendidikan negara.
Niat dan kemahuan PIPP kelihatannya jelas dan bersungguh. Komitmen Menteri Pelajaran untuk melahirkan golongan pelajar yang lebih berkualiti adalah amat dialu-alukan. Kemahuan dan komitmen pihak Kementerian Pelajaran mesti disambut baik oleh semua pihak.
Natijah daripada kejayaan pelaksanaan PIPP tidak akan dirasa dalam masa yang terdekat. Malahan, ia tidak akan dirasai langsung sekiranya wujud pihak yang gemar mensabotaj kejayaannya dari peringkat awal lagi.
Jangan hendaknya ada pihak yang bersungut tentang perkara-perkara ranting, tetapi gagal memahami gagasan dan teras PIPP dalam konteks yang menyeluruh.
Kesamarataan peluang pendidikan adalah ‘garis penentu penting’ kepada mana-mana negara. Negara yang semaju Amerika Syarikat sendiri juga mempunyai suatu program yang dipanggil no child left behind (keciciran sifar) dalam menentukan semua anak kecil menerima hak pendidikan.
Dalam konteks semasa, kesamarataan sudah pastinya tidak hanya dirujuk kepada peluang pendidikan, tetapi ‘kualiti pendidikan yang sama’, antara luar bandar dengan bandar - ataupun antara pinggir bandar dengan sekolah bandar.
Penulis juga terpanggil untuk pihak Kementerian melihat juga kemampuan peningkatan pendidikan sekolah-sekolah pinggir bandar. Alamat sekolah-sekolah pinggir bandar yang berposkodkan Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang belum tentu menjanjikan kemudahan dan prasarana yang baik. Jangan terkejut jika ada sekolah pinggir bandar yang punya kemudahan dan prasarana yang menyedihkan.
PIPP bukanlah ubat yang bersifat ‘magis’ dan mampu merubah sistem pendidikan negara dalam sekelip mata. Ia pelan yang berminda dan bercita-cita jauh dalam menentukan pembinaan generasi yang wibawa dan mampu bersaing dalam pentas dunia yang terbuka.
Tidak ada pihak yang mampu mengatakan mereka tidak mempunyai kepentingan dalam pendidikan. PIPP adalah agenda besar - dan sikap kita yang tidak ambil peduli juga mungkin mensabotaj niat baik pelan tersebut.
– KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
|
|
 |
 |
 |
 |
 |
|
 |
| |
 |
|
|
 |
| |
| Rujukan Penaja |  |
| Pautan |  |
| Penilaian |  |
Markah Purata: 5 Undian: 1

| | |  | | Pilihan |  |
|